Takrif ulama' dari sudut bahasa Arab ialah
bermaksud orang yang mengetahui sesuatu. Ianya berasal daripada kalimah
aliim dan ulama’ adalah perkataan jama’ (gandaan yang menunjukkan
bilangan banyak) kepada aliim . Manakala dari sudut syarak, pelbagai
takrifan telah diberikan antaranya ialah :
1.
Takrif Syeikh Abul Aziz Badri dimana beliau berkata : “Ulama’ adalah
sebagai pewaris nabi iaitu yang menyambung kembali perjuangan dan
dakwah para nabi. Ulama’ tidak takut kepada pemerintah yang zalim dan
pihak yang kejam kerana kepatuhan mereka hanya kepada Allah SWT”.
2.
Imam Al-Hassan Al-Basri berkata : “Ulama’ ialah orang yang takut
kepada Allah dan cenderung melakukan apa yang Allah suka dan
mengharamkan apa yang diharamkan dan memelihara wasiatNya”
3.
Imam Malik berkata : “Ulama’ bukanlah seorang yang banyak menghafaz
riwayat hadis bahkan mempunyai ilmu yang merupakan nur (cahaya) yang
dinyalakan Allah di dalam hati”
4. Dr. Harun Din mengatakan
bahawa ianya ialah kalimah jama’ daripada perkataan alim dengan
bermaksud seseorang yang mendalami pengetahuan agama. Di dalam bahasa
Arab terdapat banyak istilah lain selain istilah ulama’ yang digunakan
bagi merujuk kepada bidang masing-masing sebagai contoh khabir,
muhtarifun, fanniyyun yang merujuk kepada pakar selain bidang agama.
Di Dalam Al-Quran Al-Karim Allah s.w.t telah berfirman :
إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ
Bermaksud : “Hanyasanya orang yang paling takut kepada Allah adalah ulama” (Surah Fathir, ayat 28)
Menurut
al-Imam al-Syaukani dalam mentafsirkan ayat ini beliau berkata, “
Ulama adalah mereka yang takut pada Allah taala,dan mengetahui bahawa
Allah taala berkuasa atas sesuatu”. Al-Imam al-Qurtubi menyebut, “Ulama
adalah seorang yang takut akan kekuasaan Allah taala dan yakin bahawa
Allah taala akan membalas segala maksiat yang dilakukan.
Menurut
al-Syahid Syed Qutb pula : “ Ulama adalah orang yang mengetahui
tentang sifat Allah taala dan kebesarannya. Sesiapa yang bertambah
ilmunya maka akan bertambah takutnya kepada Allah taala”. Berdasarkan
kepada tafsiran tersebut nyatalah mereka yang tidak takutkan hukum
Allah s.w.t dan bersungguh-sungguh melaksakan perintah Allah bukanlah
mereka yang layak digelar ulama pada hakikatnya walaupun mahir dalam
persoalan halal dan haram. Oleh itu, ulama yang takut kepada Allah
iailah mereka yang mengmalkan ilmunya dan menyeru manusia supaya turut
sama takut dan patuh kepada perintah Allah.
SYARAT-SYARAT DAN CIRI-CIRI BERGELAR ULAMA’
Institusi
ulama’ merupakan institusi yang tinggi di dalam Islam. Allah s.w.t
telah berbangga dengan para ulama dan telah mengangkat darjat mereka di
kedudukan yang tinggi sebagaimana firman Allah :
يرفع الله الذين آمنوا منكم والذين أوتوا العلم درجات
Bermaksud:
“ Allah s.w.t mengangkat darjat orang yang beriman dan mereka yang
diberikan ilmu dengan beberapa darjat”. (Surah Mujadalah, ayat 11)
Oleh
yang demikian itu, ulama perlulah memiliki cirri-ciri dan syarat yang
ketat sesuai dengan kedudukan mereka di dalam Islam. Syarat-syarat
seorang ulama ialah :
1. Memiliki disiplin ilmu Islam yang
menyeluruh. Syarat ini penting untuk membezakan mereka yang hanya
memiliki pengetahuan agama dan mereka yang betul-betul menguasainya
supaya dapat diletakkan seseorang itu di kedudukannya.. Antara ilmu-ilmu
yang perlu dikuasai ialah :
a. Bahasa Arab dan cabang-cabangnya seperti Nahu, Saraf.
b. Al-Quran dan Ulum al-Quran
c. Ilmu Feqah Islam dan Usul Feqah
d. Ilmu Hadis dan Ulum al-Hadis
e. Ilmu Mantiq
f. Ilmu Tarikh al-Islami dan Sirah Nabawiyah
g. Ilmu Aqidah Islamiyah (Ahlussunnah Wal Jamaah)
h. Ilmu Tasawwuf dan akhlak.
i. Usul dakwah
Ulama
yang dimaksudkan juga adalah mereka yang menguasai ilmu agama dengan
cara mempelajarinya dengan para ulama secara berdepan atau musyafahah ,
di dalam segenap lapisan ilmu islam sama ada ilmu yang berkaitan usul
ataupun furuk. Bukan hanya sekadar membacanya dengan tanpa berguru. Ini
adalah bagi memastikan ianya diambil daripada acuan yang sebenar bukan
dengan hawa nafsu dan salah faham. Bagi zaman sekarang, memadai untuk
ulama untuk memiliki pengkhususan dalam salah satu bidang yang disebut
atau lebih disamping menjadikan selainnya sebagai thaqofah yang turut
dipelajari.
2. Mempunyai pengetahuan umum dan pelbagai mengenai
Islam dan isu sekitarnya. Antara perkara-perkara yang perlu dihadam
dengan baik ialah :
a. Buku-buku karangan ulama harakah
al-Islamiyah seperti al-Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi, Fathi Yakan,
al-Syeikh Said Hawwa dan lain-lain.
b. Feqah Haraki seperti Feqah Waqi’,Feqah Muwazanah, Feqah Awlawiyyat, Feqah Taghyir.
c. Selok belok serangan pemikiran moden seperti Freemason, Kristianisasi, ajaran anti hadis dan lain-lain
d. Politik dan perundangan negara serta hal ehwal politik semasa.
Demikian
juga ulama perlu memiliki ciri-ciri dan keperibadian yang unggul
sebagaimana yang telah digariskan oleh Islam sesuai dengan kedudukan
ulama’ sebagai pewaris Nabi Muhammad s.a.w. Antara sifat yang perlu
dimiliki ialah :
1. Cinta kepada Allah s.w.t
2. Cinta dan benci kepada makhluk hanya kerana Allah.
3. Berjiwa pendidik (murabbi)
4. Mendapat tarbiyah yang baik.
5. Sanggup dipimpin dan memimpin.
6. Berjiwa pejuang dan sanggup berjihad dengan segala apa yang dimiliki.
7. Berjiwa besar dan tidak takut dikritik oleh manusia.
8. Bijak berhadapan dengan situasi semasa.
9. Hidup dalam masyarakat (mua’yasyah al-mujtama’)
HUKUM ULAMA’ MENJADI PEMIMPIN DAN DALIL-DALILNYA
Setelah
melihat kepada takrif, ciri-ciri serta sejarah seperti yang tercatat
sebelum ini dapatlah ditegaskan secara umumnya bahawa ulama wajib
memimpin. Oleh kerana sesebuah gerakan Islam ingin membawa Islam itu
sendiri maka golongan yang paling berkemampuan untuk menerangkan
kebaikan Islam kepada masyarakat secara terperinci dan keburukan sistem
selain Islam adalah para ulama.
Terdapat dalil yang cukup banyak
membicarakan berkenaan perkara ini. Bagi yang memahaminya dengan baik
tentu akan mencukupi baginya walaupun satu dalil sahaja. Namun
seseorang yang ingin mengingkarinya, maka jika kita datangkan dengan
seribu satu dalil sekalipun mereka tetap akan mengingkari akan perkara
ini.
Jika kita memerhatikan dengan teliti
di dalam al-Quran dan al-Sunnah maka kita akan mendapati bahawa para
ulama sebenarnya adalah merupakan mereka yang paling layak untuk
memegang tampuk kepimpinan khususnya dalam gerakan Islam yang ingin
melaksanakan amar makruf nahi mungkar.
Kita akan membincangkan
secara ringkas apakah dalil yang menunjukkan bahawa perlu para ulama
memimpin. Antara dalil-dalil yang menunjukkan perkara ini:
1.PARA NABI MERUPAKAN PARA PEMIMPIN UMAT
Jika
kita mengatakan bahawa para nabi adalah pemimpin umat manusia kepada
kebenaran. Maka kita juga sepatutnya mengatakan bahawa para ulama juga
mengambil tugas para nabi terdahulu. Ini kerana para ulama adalah
pewaris para nabi.
Allah s.w.t memilih
hambaNya yang bertaqwa bagi melaksanakan tugasan dakwah dan bagi
memimpin umat manusia. Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Baqarah ayat
30 yang bermaksud: "dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada
Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi".
mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu Dengan berkata):
"Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang Yang
akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal
Kami sentiasa bertasbih Dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan
berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa Yang kamu tidak
mengetahuinya".
Perkara pertama yang disebutkan oleh Allah s.w.t
apabila Nabi Adam alaihi a.s diangkat menjadi Khalifah Allah bukanlah
kekuasaan dan kekuatan. Namun perkara pertama yang diajarkan kepada Nabi
Allah Adam alaihi a.s ialah ilmu. Ini seperti firman Allah taala di
dalam surah al-Baqarah ayat 31 yang bermaksud: "dan ia telah mengajarkan
Nabi Adam, akan Segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian
ditunjukkannya kepada malaikat lalu ia berfirman: "Terangkanlah kepadaKu
nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan Yang benar".
Ini
menjadi dalil bahawa ilmu adalah perkara pokok yang utama untuk di
dahulukan bilamana memegang sesuatu kepimpinan dalam apa jua bentuk.
Allah
taala juga menyebutkan kepada Nabi Allah Daud a.s di dalam surah
al-Shaad ayat 26 yang bermaksud: "Wahai Daud, Sesungguhnya Kami telah
menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia
Dengan (Hukum syariat) Yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan
janganlah Engkau menurut hawa nafsu, kerana Yang demikian itu akan
menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang Yang sesat
dari jalan Allah, akan beroleh azab Yang berat pada hari hitungan amal,
disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.
Ayat
ini juga menjadi dalil bahawa para Nabi hakikatnya diutuskan untuk
menjalankan Syariat Allah di muka bumi ini. Maka para ulama adalah
penerus kepada perjuangan para Nabi terdahulu. Sabda Baginda sallallahu
alaihi wasallam :
إنما العلماء ورثة الأنبياء
Maksudnya : “ Sesungguhnya Para ulama itu adalah merupakan pewaris para Nabi”
Al-Allamah
al-Syeikh Ali Surur al-Zankaluni rahimahullah menyebutkan di dalam
kitabnya al-Dakwah wa al-Du’ah dengan mengatakan bahawa di antara
perkara yang menjadi kekeliruan dan kekacauan di dalam pemikiran
masyarakat adalah bilamana seseorang memisahkan politik daripada agama.
Malah lebih teruk dengan mengatakan bahawa agama suku dan politik suku.
Di antara sebab mengapa umat Islam sekarang jauh ketinggalan di
belakang adalah kerana terdapatnya golongan sebegini.
Al-Allamah
al-Syeikh Abu Hassan Ali al-Hasani al-Nadwi rahimahullah menyebutkan
di dalam kitabnya Maza Khasirul al-A’lam Binhithot al-Muslimin
(kenapakah ruginya ala mini dengan mundurnya umat Islam) dengan
mengatakan bahawa jihad tetap akan berterusan sehingga ke akhir zaman.
Pada zaman dahulu jihad dilaksanakan dengan menggunakan mata pedang.
Namun pada masa sekarang, jihad adalah dengan menggunakan pemikiran.
Maka sepatutnya bagi umat Islam untuk memerangi fahaman-fahaman yang
bertentangan dengan Islam dengan bentuk jihad yang ada pada masa kini.
Persoalannya
siapakah yang akan menerangkan tentang kesalah fahaman di dalam
pemikiran-pemikiran yang bertentangan dengan Islam ini jika bukan ulama
yang turun padang memberikan penjelasan??
Memberikan penjelasan
berkenaan bahaya ajaran selain Islam adalah wajib. Maka ini secara
langsung menjadikan keterlibatan di dalam perjuangan Islam juga akan
menjadi wajib dengan sebab kedua-duanya punya kesinambungan yang jitu.
Para ulama Usul Fiqh menyebutkan :
ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب
Maksudnya
: “Sesuatu yang wajib itu tidak akan sempurna melainkan dengan sesuatu
yang lain maka perkara yang digunakan untuk menyempurnakannya juga
menjadi wajib.”
SYUBHAT
Terdapat
sebahagian orang mengatakan bahawa jika kita mengatakan bahawa ulama
perlu untuk memimpin maka ini akan menjadikan Negara tersebut dipimpin
oleh orang-orang yang digelar “ Rijal al-Din” atau di dalam bahasa kita
disebutkan orang-orang agama. Negara seperti ini samalah seperti bentuk
pemerintahan yang dijalankan oleh oleh golongan Kristian bagi
menggerakkan sistem Gereja di barat satu ketika dahulu.
JAWAPAN
Al-Allamah
Dr Yusuf al-Qaradhawi hafizahullah menyebutkan di dalam kitabnya
al-Din Wa al-Siasah pada mukasurat 162 mengatakan bahawa jika seseorang
itu menyamakan di antara sistem yang Islam bawa seperti sistem yang
dibawa oleh golongan paderi maka ini jelas amat bertentangan dengan
kebenaran malah jauh daripada hakikat sebenar.
Golongan
Kristian membahagikan agama dan pemerintahan kepada dua bahagian.
Malah menyerahkan pemerintahan kepada manusia lain untuk melakukan
sewenang-wenangnya manakala institusi agama diserahkan kepada pihak
paderi bagi menguruskannya.Gambaran sebegini langsung tidak wujud di
dalam Islam.
Al-Allamah Muhammad
al-Ghazali rahimahullah juga memberikan komentar yang sangat baik di
dalam menjawab permasalahan ini dengan mengatakan bahawa : Istilah Rijal
al-Din sebenarnya satu perkara yang tidak tepat untuk digunakan di
dalam Islam. Ini kerana umat Islam hakikatnya seluruh jiwa raga mereka
adalah rijal kepada agama mereka tanpa ada pengecualian.
2.TUJUAN ILMU ADALAH UNTUK MEMBERIKAN PERINGATAN DAN PENGAJARAN
Firman
Allah taala di dalam surah al-Taubah ayat 122 yang bermaksud: "dan
tidaklah (betul dan elok) orang-orang Yang beriman keluar semuanya
(pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari
tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu
mempelajari secara mendalam ilmu Yang dituntut di Dalam ugama, dan
supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila
orang-orang itu kembali kepada mereka; Mudah-mudahan mereka dapat
berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).
Setiap
zaman punya cara untuk memberikan peringatan kepada umat
masing-masing. Di antara cara untuk memberikan peringatan kepada umat
pada zaman sekarang adalah dengan memegang tampuk kepimpinan di dalam
masyarakat khususnya dalam bentuk jemaah Islam. Maka ini memberi makna,
para ulama perlu untuk meletakkan diri mereka sebagai pemimpin umat
bagi merealisasikan amar ma’ruf dan nahi mungkar.
Seseorang
yang bijak berinteraksi dengan zaman akan memandang bahawa pada zaman
sekarang, jika ulama tidak memegang tampuk kepimpinan maka ahli-ahli
jemaah secara khususnya dan masyarakat secara umumnya akan berada dalam
kejahilan dan jauh hanyut lebih-lebih lagi jika mereka dipimpin oleh
orang-orang yang tidak mengatahui soal hukum-hukum Islam.
SYUBHAT
Ada
sebahagian orang mengatakan bahawa para ulama tidak perlu untuk
memimpin . Ini kerana jika melihat kepada zaman dahulu, para ulama cuma
menjadi penasihat kepada para khalifah dan sultan (ahlul halli wal
‘aqd) maka tidak perlu untuk para ulama bergiat cergas menjadi
pemimpin.
JAWAPAN
Jawapan
bagi orang yang mengatakan sedemikian ialah inilah peri pentingnya
seseorang itu bermuamalat dengan zaman dan isu semasa yang berlaku di
sekeliling.
Jika seseorang itu
membandingkan penglibatan dan gerak kerja ulama dahulu dengan sekarang
maka sebenarnya ianya merupakan satu perbandingan yang tidak tepat. Ini
kerana , para ulama dahulu mereka memberi nasihat kepada orang yang
memahami akan kedudukan sebenar ulama tersebut. Berbeza dengan zaman
sekarang yang mana jika ulama hanya melaksanakan sedemikian maka
masyarakat akan tetap meletakkan ulama di tempat yang bawah dan
seolah-olah kalam dan nasihat mereka hanya boleh dipakai di
tempat-tempat tertentu seperti masjid dan lain-lain tempat bukannya
sebagai penggubal dasar kepada parti atau negara.
Maka keadaan
seperti ini akan menjadikan kita seperti agama Kristian yang membezakan
antara agama dan pemerintahan. Ini jelas amat bertentangan dengan
prinsip Islam yang sebenar.
3.ULAMA MENGETAHUI TENTANG HAK ALLAH TAALA
Di
antara dalil mengapa para ulama perlu melibatkan diri di dalam
kepimpinan pada zaman sekarang adalah kerana para ulama lebih memahami
dan mengetahui tentang bagaimana hak Allah akan tertunai di muka bumi
Allah taala ini. Di antara peranan ulama juga adalah untuk meninggikan
kalimah Allah taala di muka bumi ini.
Firman Allah taala di dalam
surah Ali Imran ayat 18 yang bermaksud: "Allah menerangkan (kepada
sekalian makhlukNya Dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada
Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan
(seluruh alam) Dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang
Yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga Yang demikian); tiada Tuhan
(yang berhak disembah) melainkan dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana.
Ayat ini menjadi dalil yang
jelas bahawa para ulama adalah di antara golongan yang diberikan oleh
Allah taala kemampuan untuk memahami dan memberi faham kepada
masyarakat tentang peri penting mengembalikan hak pemerintahan mengikut
hukum Allah taala.
4. SEJARAH MEMBUKTIKAN BAHAWA ULAMA MAMPU MEMIMPIN
Antara
dalil yang menyokong untuk kita meletakkan para ulama sebagai pemimpin
adalah berdasarkan sejarah penglibatan ulama di dalam bidang
kepimpinan sejak zaman dahulu lagi sehingga sekarang. Para ulama sudah
lama berkecimpung di dalam bidang kepimpinan dan perjuangan agama Allah
taala ini. Namun ramai yang terlepas pandang dan tetap menggunakan
hujah bahawa ulama tidak boleh menjadi pemimpin, cukup dengan hanya
menjadi penasihat.
Di antara ulama yang menjadi pemimpin ialah :
ZAMAN SAHABAT
1. Saidina Abu Bakr al-Siddiq radhiyallahu anhu
2. Saidina Umar bin al-Khattab radhiyallahu anhu
3. Saidina Uthman bin Affan radhiyallahu anhu
4. Saidina Ali bin Abi Talib radhiyallahu anhu
5. Saidina Saad bin Abi Waqqas radhiyallahu anhu
6. Saidina Muadz bin Jabal radhiyallahu anhu
7. Saidina Abu Hurairah radhiyallahu anhu
8.
Saidina Muawiyah bin Abu Sufyan radhiyallahu anhu dan banyak lagi para
sahabat yang tidak mampu untuk kita sebutkan di sini kerana terlalu
ramai di antara mereka yang terlibat di dalam kepimpinan Islam.
ZAMAN TABI’EN DAN SELEPASNYA
1. Saidina Umar bin Abdul Aziz rahimahullah
2. Saidina Harun al-Rasyid rahimahullah
3. Saidina Nuruddin al-Zinki rahimahullah
4. Saidina Salahuddin al-Ayyubi rahimahullah
5. Saidina Sultan Abdul Hamid , Sultan terakhir Khilafah Uthmaniyah
6. Saidina Sultan Alauddin Riayat Shah, Sultan Kerajaan Islam Melaka.
7. Saidina al-Imam Mutawalli Sya’rawi rahimahullah
ULAMA YANG MEMIMPIN GERAKAN ISLAM SEDUNIA
1. Imam Hassan al-Banna dan para Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin yang lain.
2. Abul ‘Aala Al-Maududi di India.
3. Syeikh Abdul Qader al-Jazair di Algeria
4. Syeikh Umar Mukhtar di Libya
5. Syeikh Ahmad al-Mahdi di Sudan
6. Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Kelantan.
Ini
adalah sebahagian kecil yang dapat untuk kita sebutkan disini.
Hakikatnya masih terdapat ramai para ulama yang menjadi pemimpin
masyarakat. Samaada dengan menjadi Khalifah, Sultan, Menteri , Mufti ,
Qadhi dan lain-lain jawatan penting.
Para
ulama memegang tampuk kepimpinan bukanlah untuk merebut kuasa dan
gilakan kuasa tetapi mereka memegangnya hanya kerana amanah yang
dirasakan sangat penting untuk dijaga oleh seseorang yang mampu.
Hakikatnya
golongan ulama telah dipuji oleh Allah taala di dalam kalamNya yang
Maha Qadim ayat 28 surah Faathir yang bermaksud: "dan demikian pula di
antara manusia dan binatang-binatang Yang melata serta
binatang-binatang ternak, ada Yang berlainan jenis dan warnanya?
sebenarnya Yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah
dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang Yang berilmu.
Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.
Semoga dengan
catatan ini kita dapat memahami mengapa ulama wajib memimpin sesebuah
gerakan Islam ataupun negara itu sendiri seumpama Malaysia dan
diharapkan segala keraguan berkaitan dengannya terungkai. Apa yang baik
itu daripada Allah dan yang buruk daripada kesilapan kami sebagai
makhluk yang hina. Wallahu A’alam.
Dipetik daripada
blog Pertubuhan Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir