Ahad, 29 Julai 2012

Ibrah Dari Peristiwa Peperangan Badar


Perang Badar yang berlaku pada 17 Ramadhan 2 Hijrah merupakan pertempuran penting dalam zaman awal Islam dan merupakan pemusingan dalam perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. dengan pihak lawannya di kalangan Quraisy di Makkah. (Wikipedia)
01.Ingatlah sahabat-sahabat sekalian bahawasanya kita perlu bersyukur dengan nikmat iman dan Islam. Hal ini kerana salah satu asbab Islam sampai kepada kita adalah kerana Perang Badar.
Sebelum peperangan itu bermula, Rasulullah berdoa kepada Allah, "Ya Allah, jika Kau jadikan pihak Islam kalah pada peperangan ini, maka Kau tidak akan disembah selamanya." Kita perlu bersyukur kerana atas asbab kemenangan Perang Badar yang dibantu oleh Allah, sesungguhnya Islam dapat sampai kepada kita. Hargailah ia.
02.Apabila selesai berperang, Rasulullah sangat bersyukur atas kemenangan pihak Islam. Lalu terdapat tebusan-tebusan yang ditawan. lalu Rasulullah telah bermusyawarah dengan para sahabat untuk mengambil keputusan apakah yang harus dilakukan kepada semua tebusan ini. Rasulullah telah meminta pendapat para sahabat.
Abu Bakar telah mencadangkan bahawa kita perlu untuk melepaskan tebusan itu.
Tidak hairanlah pendapat Abu Bakar begitu kerana sepertimana yang semua sedia maklum, Abu Bakar mempunyai satu naluri kasih sayang yang amat kuat.
Umar pula memberikan pendapat bahawa kita perlu membunuh semua tebusan tersebut.
Jika berfikir secara logik, pendapat Umar juga betul kerana jika dilepaskan pun semua tebusan itu, sudah tentu mereka akan melawan Islam semula jika ada kesempatan.
Pada waktu itu, Rasulullah telah membuat keputusan dengan memilih cadangan Abu Bakar.
Ada segelintir Ulama berpendapat bahawa sebenarnya Allah lebih memilih pendapat Umar pada waktu itu dan ada juga segelintir pendapat mengatakan bahawa bala dari Allah sudah hampir ke paras bumi.
Namun oleh kerana berkatnya musyawarah yang diadakan oleh Rasulullah ketika itu menyebabkan bala itu tidak ditimpakan. Hal ini menunjukkan bahawa untuk membuat sesuatu keputusan musyawarah amat penting untuk diadakan.
03.Semasa Rasulullah merancang strategi peperangan, Rasulullah telah memberitahu kepada para sahabat tentang strateginya yang membolehkan umat Islam menang.
Namun seorang sahabat telah membantah cadangan itu dengan cara yang baik. Sahabat tersebut berkata dengan kata-kata yang cukup berhikmah, "Wahai Rasulullah, adakah ini wahyu atau perancangan darimu?
Jika ini wahyu, maka aku bersetuju, tetapi jika ini perancanganmu, maka aku tidak bersetuju", sambil dia mencadangkan cadangannya.
Hal ini menunjukkan bahwa untuk mencapai sesuatu keputusan, kita perlu mendengar pendapat ramai orang.
Seterusnya, seorang pemimpin juga perlu mendengar pendapat orang bawahannya agar strategi peperangan itu dapat berjalan dengan baik.
04.Sebelum peperangan berlangsung, terdapat sedikit masalah berlaku kepada kaum Muslimin yang akan berperang apabila mereka dapat mengetahui bahawa bilangan pihak lawan melebihi mereka. Rasulullah telah mengadakan musyawarah bersama para sahabat.
Lalu dengan nada yang bersemangat, kesemua para sahabat menyatakan persetujuan untuk meneruskan peperangan ini.
Hal ini menunjukkan bahawa jika seseorang itu telah mempunyai keyakinan yang tinggi kepada Allah, maka tidak ada apa yang dapat menghalangnya dari melakukan sesuatu yang dapat membawanya ke Syurga Allah dan mendapat ganjaran Allah.
05.Jika berfikir secara logik, jumlah seramai 313 (atau pada pendapat lain, jumlahnya lebih) orang itu tidak mampu melawan tentera kafir yang berjumlah lebih seribu orang, tetapi oleh kerana bantuan Allah, maka peperangan itu dimenangi oleh umat Islam.
Hal ini menunjukkan bahawa Allah sentiasa menolong hambaNya yang bertaqwa disamping keikhlasan berjuang keranaNya.
Jika pada tulisan ini terdapat kesalahan, maka jutaan keampunan dipohon kerana niat penulis adalah untuk menyampaikan iktibar dan ibrah disebalik peristiwa-peristiwa pada peperangan Badar.
Semoga mampu untuk dimanfaatkan

Artikel Oleh: Iluvislam

0 ulasan:

Catat Ulasan