Pada cuti pertengahan penggal
yang lalu, satu program lawatan peringkat antarabangsa telah diadakan ke Medan,
Indonesia yang disertai oleh hampir keseluruhan ahli kelas Pendidikan Islam 2.
Lawatan ini menggunakan perkhidmatan pakej pelancongan syarikat Go Travel bagi
melancarkan dan memudahkan lagi urusan pelancongan di Medan. Medan merupakan bandar yang keempat
terbesar di Indonesia lepas Jakarta, Surabaya dan Bandung dan ianya juga ialah
bandar terbesar di kepualauan Sumatera yang menampung kira-kira 2 juta orang
penduduk.
Lawatan ini terbahagi kepada
2 kumpulan yang bertolak pada hari yang berbeza iaitu pada 8 Jun 2014 dan 9 Jun
2014. Penerbangan kumpulan pertama yang mula berlepas ke Medan, Indonesia
daripada Lapangan Terbang Pulau Pinang pada jam 7.25 cuma mengambil masa lebih
kurang 45 minit dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Kualanamu yang
terletak tidak jauh daripada Pekan Medan. Setelah selesai urusan imegresen di
negara jiran ini, kami menaiki bas yang membawa kami ke Pekan Medan dan setelah
tiba di salah sebuah pusat membeli belah, kami mengambil teksi untuk terus ke
hotel.
Setelah tiba bagi urusan
pendaftaran di hotel, kami dibawa makan di sebuah restoran yang menghidangkan
makanan mengikut cara masyarakat (Padang/Minang) oleh salah seorang kenalan
yang kami temui ketika di lapangan terbang. Pelayan di dalam restoran tersebut
akan meletakkan seberapa banyak lauk pauk yang ada di atas meja dan bayaran
akan dikenakan sekiranya kita mengambil lauk tersebut sama ada dihabiskan atau
tidak. Bagi kami yang mengalaminya untuk pertama kali agak bingung dan teruja
melihat cara makanan dihidang disini. Oleh kerana meja yang dipenuhi dengan
lauk pauk, kami memilih lauk tertentu sahaja dan meminta mereka mengambil
semula lauk yang tidak mahu dimakan. ‘Teh botol’ dikatakan begitu popular dalam
kalangan masyarakat di sini. Namun begitu, rasanya tidak seperti ‘teh manis
dingin’ yang lebih kurang sama rasanya dengan ‘teh o ais’ jika di Malaysia.
Di waktu petang, kami
berjalan kaki untuk merasakan suasana di Medan dengan lebih santai. Kami
bergerak ke Medan Mall yang berdekatan dengan hotel untuk mencari restoran bagi
mengisi perut. Namun, di tengah pekan Medan ini tidak mempunyai banyak pilihan
yang sesuai. Oleh yang demikian, kami menggunakan perkhidmatan ‘angkut’ yang
berupa van untuk ke Carrefour. Di sana,
kami berkeputusan untuk menjamu selera di medan selera dan ada sebahagian
daripada kami membeli sim kad Indonesia di sini bagi memudahkan hubungan
komunikasi dengan keluarga di Malaysia.
Hari sudah semakin kelam,
kami meneruskan perjalanan ke sebuah masjid di pekan Medan iaitu Masjid ***.
Seni binanya yang sangat indah mampu memukau mata yang memandang biar dari
luaran sahaja. Kebersihan di masjid ini juga dijaga dengan baik sekali. Kami
singgah sebentar di sini bagi mengerjakan solat jamak Maghrib dan Isyak sebelum
bergerak ke destinasi yang seterusnya. Kemudian, kami menaiki angkut untuk
membawa kami ke Merdeka Walk. Merdeka Walk ini merupakan tempat yang harus
dilawati sekiranya sampai di Sumatera Utara kerana suasananya yang dipenuhi
dengan restoran bagi makanan Barat, Asia mahupun makanan Medan. Merdeka Walk
juga dikenali sebagai pusat makanan, hiburan dan arena pertunjukan sekiranya
mempunyai peluang. Kami singgah di sini untuk beristirehat sambil mengambil
angin malam sebelum pulang ke hotel. Begitulah coretan perjalanan bagi hari
pertama kami ke Medan.
0 ulasan:
Catat Ulasan