Kami
menikmati pagi hari yang indah di Danau Toba dengan pemandangan dari bilik yang
cukup menenangkan. Kami berkemas dan mengeluarkan barang sebelum bersarapan di
restoran hotel tersebut. Dunia terasa begitu kecil apabila kami bertemu dengan
salah seorang pelajar IPDA yang juga sedang bercuti bersama keluarganya di
Medan. Setelah itu, kami menaiki bot dan bergerak ke Pulau Samosir di
seberangnya dan kami singgah di Kampung Tomok dan Kampung Ambarita. Di Pulau
Samosir ini, masyarakat majoritinya adalah daripada kaum Batak dan kami tidak
dibenarkan untuk membeli apa-apa makanan yang dijual.
Perjalanan ke Pulau Samosir
mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit. Bukan sahaja kerana tempat yang
dituju agak jauh tetapi juga mengambil kira bot yang membawa penumpang tersebut
agak perlahan dari segi kelajuannya. Lokasi pertama lawatan kami di Pulau
Samosir adalah Kampung Ambarita untuk melihat secara lebih dekat perkampungan
Batak dan cara hidup serta tempat perbicaraan/mesyuarat kaum Batak. Setibanya
kami di Kampung Ambarita, kami terus ke pusat perkampungan Batak. Terdapat
pelbagai monumen untuk dilihat seperti tempat bagi raja-raja Batak terdahulu
mengadakan perbincangan atau musyawarah dan beberapa rumah asal kaum Batak yang
dijadikan sebagai monumen perlancongan. Setelah selesai kami dibawa ke tempat
pemancungan kepala bagi kaum Batak yang dijatuhkan hukuman. Selesai penerangan
yang dibuat oleh Pak Brahim kami turun untuk kembali ke bot. Dalam perjalanan
ke bot, terdapat banyak kedai-kedai yang menjual cenderahati dan alat-alat
kraftangan dari kaum Batak.
Setelah selesai melawat
sekitar kampung Ambarita, kami meneruskan perjalanan ke satu lagi Perkampungan
Batak di Pulau Samosir iaitu Kampung Tomok. Keadaan di Kampung Tomok adalah
lebih terurus berbanding di Kampung Ambarita. Terdapat jeti yang lebih baik dan
kedai-kedai di Kampung Tomok lebih tersusun. Di Kampung Tomok kami dibawa untuk
melawat ke makam raja-raja Batak yang telah berusia ratusan tahun lamanya.
Disitu terdapat beberapa makam raja Batak termasuk raja Batak yang pertama
iaitu Raja Sidabuntar Tomok dan keturunannya yang lain. Selepas ke Kampung
Tomok, kami memulakan perjalanan ke Berastagi yang mengambil masa selama 2 jam
dari Parapat.
Sebelum tiba di Berastagi,
kami singgah dahulu di Simarjarunjung yang mengambil masa lebih kurang 1 jam
daripada Parapat. Minuman herba yang terkenal di sini adalah bandreng iaitu
sejenis teh halia dengan campuran herba yang sesuai bagi memanaskan badan di
kawasan yang sejuk seperti di Simarjarunjung ini. Pemandangan daripada atas
bukit ini sangat indah dan sentiasa menjadi tempat istirehat sementara sebelum
meneruskan baki perjalanan ke Berastagi. Kemudian kami berhenti sebentar
menikmati keindahan di Sipiso-Piso Waterfall yang merupakan air terjun yang terkenal
di Kepulauan Sumatera. Menurut lagendanya, Air Terjun Sipiso-Piso mendapat
namanya daripada seorang tua yang duduk di bawah air terjun ini yang mahir
membuat senjata-senjata yang digunakan untuk berperang. Senjata-senjata yang
dihasilkannya adalah seperti keris, pedang, parang dan lain-lain lagi. Namun,
pisau merupakan kepakarannya dan dari sinilah lahirnya nama air terjun ini.
Berastagi
merupakan sebuah pekan yang terletak di utara Kepulauan Sumatera. 'Berastagi'
yang bermaksud 'setor beras' adalah salah satu penempatan kaum Batak Karo.
Aktiviti ekonomi utama di Berastagi adalah penanaman buah-buahan dan
sayur-sayuran serta perlancongan. Berastagi boleh diibaratkan seperti Cameron
Highland di Malaysia yang dibezakan dengan 2 buah gunung berapi iaitu Gunung
Sibayak dan Gunung Sinabung. Gunung-gunung berapi ini difahamkan masih aktif
sehingga kini. Sebelum
tiba di Berastagi juga terdapat jualan buah-buahan di tepi jalan yang merupakan
hasil daripada tanaman di Berastagi ini. Setelah tiba di Berastagi, kami
menjalankan aktiviti sendiri sambil berehat sebelum meneruskan perjalanan pada
keesokan harinya.
0 ulasan:
Catat Ulasan