Sabtu, 16 Mei 2015

TRAVEL (2) : Mahasiswa Pendidik Ke Medan, Indonesia

            Pada 9 Jun 2014, kumpulan pertama yang telah tiba di Medan bergerak semula ke Lapangan Terbang Kualanamu untuk mengambil ahli kumpulan kedua yang baru tiba dan kami bergerak bersama-sama ke Perapat yang mengambil masa lebih kurang 5 jam perjalanan. Kami menaiki bas syarikat pelancongan yang telah disediakan dan kami berkenalan dengan pemandu pelancong yang sangat ramah dan penuh dengan kecindan iaitu Pak Brahim. Di sepanjang perjalanan kami ke Danau Toba diselitkan dengan cerita sejarah Medan juga cerita-cerita lucu yang menghidupkan lagi suasana perjalanan kami.
            Jika dilihat di sekitar bandar Medan, ianya merupakan bandar yang sangat sesak dan dipenuhi dengan kenderaan. Oleh sebab yang demikian, pemandu di bandar ini sentiasa menggunakan ‘hon’ tanpa henti kerana ianya sudah menjadi kebiasaan bagi masyarakat di sini. Menurut Pak Brahim, penggunaan ‘hon’ ini sebenarnya banyak membantu dari segi kemalangan jalanraya kerana pengguna lebih berhati-hati dan peka setiap masa dengan keadaan sekeliling. Lampu isyarat yang wujud juga tidak begitu digunakan. Keadaan dan suasana yang berbeza di Malaysia sedikit sebanyak membuatkan kami berdebar-debar sepanjang perjalanan ke Perapat.
            Kami singgah untuk makan tengahari terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan. Kemudian kami turut singgah di kilang Paten di mana di sini mereka menjual ‘jajan’ bagi masyarakat Indonesia yang berupa kacang-kacang sebagai pemanis mulut dan snek ringan. Setelah itu, kami meneruskan perjalanan yang masih jauh ke dalam dan semuanya tertidur dek keletihan. Kami terjaga kerana melihat kawasan tasik Danau Toba yang sangat luas dan cantik dari perjalanan di atas bukit yang sangat tinggi. Setelah tiba hotel, kami berehat sebelum kembali bersiar-siar di sekitar Danau Toba.
           


Di sebelah petang, kami menyewa bot untuk menikmati keindahan tasik ini sambil melihat sumpahan dongeng yang melibatkan tuan puteri yang dikatakan menjadi batu bersama anjingnya ketika tersangkut untuk terjun ke laut semasa melarikan diri. Kami dapat melihat bentuk tersebut apabila dibawa dengan dekat dengan gua tersebut. Di sebelah malam, kami dibawa makan di kawasan muslim kerana di sini kebanyakannya merupakan kaum Batak ataupun Kristian dan makanan mereka adalah anjing dan khinzir. Oleh sebab yang demikian, di kawasan ini tidak boleh membeli makanan secara sembarangan biarpun masih terdapat orang Islam. Setelah itu, kami dibenarkan untuk membeli buah tangan di deretan kedai sekitarnya dan kita perlu bijak untuk menawar dengan peniaga. Terdapat banyak baju, keychain, beg batik dan sebagainya yang boleh dibeli sebagai cenderahati untuk dibawa pulang ke Malaysia. Setelah itu, kami pulang ke hotel untuk berehat dan bersedia untuk perjalanan esok harinya.


0 ulasan:

Catat Ulasan