Putera-putera PAI2 IPG Darulaman

Sedia memimpin dan mendidik

Puteri-puteri PAI2 IPG Darulaman

Kamilah Guru Harapan Negara Malaysia

Mewujudkan perkongsian ilmu

Ilmu perlu dicari dan dikongsi. Semakin mempelajarinya semakin bodoh kita.

Guru Pembina Negara Bangsa

Guru diibaratkan seperti sebatang lilin yang sanggup berkorban apa sahaja.

Siswa Pendidik Pencetus Transformasi Pendidikan

Siswa Pendidik adalah catalyst dalam perubahan anjakan PPPM 2014-2025

Pengaplikasian TMK dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Guru inovatif dalam dunia teknologi serba canggih.

Sabtu, 16 Mei 2015

TRAVEL (4) : Mahasiswa Pendidik Ke Medan, Indonesia

                Hari ini merupakan hari terakhir kami di Medan dan kami merancang untuk melawat beberapa buah sekolah di kawasan sekitar bagi melihat sistem pendidikan di sini. Sekolah di sini masih kelihatan tidak mempunyai peruntukan yang mencukupi dan serba kekurangan jika dibandingkan di Malaysia. Namun, murid di sini masih lagi menuntut ilmu walaupun dalam keadaan yang tidak begitu kondusif. Kami juga dibawa ke Istana Maimoon yang dibina oleh Sultan Deli di Bandar Medan. Kesultanan Deli berasal daripada rumpun Melayu yang sama dengan kita dan oleh kerana itulah struktur binaannya juga menggunakan warna kuning sebagai warna diraja. Apa yang menarik di sini adalah pelawat boleh mencuba pakaian tradisional dengan hanya 10,000 rupiah sahaja untuk mengambil gambar di sekitar istana. Kami juga berpeluang untuk menunaikan solat di salah satu masiid yang sangat terkenal di sini iaitu *********

 Kami diberi ruang membeli cenderahati untuk dibawa pulang ke Malaysia. Kami dibawa ke sebuah pusat borong yang menjual telekung dan kain pasang untuk dibuat baju kurung dan sebagainya. Oleh kerana ramai yang datang, harga yang diberikan juga murah berbanding harga telekung di Malaysia dan kualitinya juga baik. Kami juga berhenti di Medan Mall untuk membeli barang keperluan sebelum masing-masing bersiap untuk ke lapangan terbang Kualanamu.

TRAVEL (3) : Mahasiswa Pendidik Ke Medan, Indonesia

                Kami menikmati pagi hari yang indah di Danau Toba dengan pemandangan dari bilik yang cukup menenangkan. Kami berkemas dan mengeluarkan barang sebelum bersarapan di restoran hotel tersebut. Dunia terasa begitu kecil apabila kami bertemu dengan salah seorang pelajar IPDA yang juga sedang bercuti bersama keluarganya di Medan. Setelah itu, kami menaiki bot dan bergerak ke Pulau Samosir di seberangnya dan kami singgah di Kampung Tomok dan Kampung Ambarita. Di Pulau Samosir ini, masyarakat majoritinya adalah daripada kaum Batak dan kami tidak dibenarkan untuk membeli apa-apa makanan yang dijual.
Perjalanan ke Pulau Samosir mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit. Bukan sahaja kerana tempat yang dituju agak jauh tetapi juga mengambil kira bot yang membawa penumpang tersebut agak perlahan dari segi kelajuannya. Lokasi pertama lawatan kami di Pulau Samosir adalah Kampung Ambarita untuk melihat secara lebih dekat perkampungan Batak dan cara hidup serta tempat perbicaraan/mesyuarat kaum Batak. Setibanya kami di Kampung Ambarita, kami terus ke pusat perkampungan Batak. Terdapat pelbagai monumen untuk dilihat seperti tempat bagi raja-raja Batak terdahulu mengadakan perbincangan atau musyawarah dan beberapa rumah asal kaum Batak yang dijadikan sebagai monumen perlancongan. Setelah selesai kami dibawa ke tempat pemancungan kepala bagi kaum Batak yang dijatuhkan hukuman. Selesai penerangan yang dibuat oleh Pak Brahim kami turun untuk kembali ke bot. Dalam perjalanan ke bot, terdapat banyak kedai-kedai yang menjual cenderahati dan alat-alat kraftangan dari kaum Batak.
Setelah selesai melawat sekitar kampung Ambarita, kami meneruskan perjalanan ke satu lagi Perkampungan Batak di Pulau Samosir iaitu Kampung Tomok. Keadaan di Kampung Tomok adalah lebih terurus berbanding di Kampung Ambarita. Terdapat jeti yang lebih baik dan kedai-kedai di Kampung Tomok lebih tersusun. Di Kampung Tomok kami dibawa untuk melawat ke makam raja-raja Batak yang telah berusia ratusan tahun lamanya. Disitu terdapat beberapa makam raja Batak termasuk raja Batak yang pertama iaitu Raja Sidabuntar Tomok dan keturunannya yang lain. Selepas ke Kampung Tomok, kami memulakan perjalanan ke Berastagi yang mengambil masa selama 2 jam dari Parapat.
Sebelum tiba di Berastagi, kami singgah dahulu di Simarjarunjung yang mengambil masa lebih kurang 1 jam daripada Parapat. Minuman herba yang terkenal di sini adalah bandreng iaitu sejenis teh halia dengan campuran herba yang sesuai bagi memanaskan badan di kawasan yang sejuk seperti di Simarjarunjung ini. Pemandangan daripada atas bukit ini sangat indah dan sentiasa menjadi tempat istirehat sementara sebelum meneruskan baki perjalanan ke Berastagi. Kemudian kami berhenti sebentar menikmati keindahan di Sipiso-Piso Waterfall yang merupakan air terjun yang terkenal di Kepulauan Sumatera. Menurut lagendanya, Air Terjun Sipiso-Piso mendapat namanya daripada seorang tua yang duduk di bawah air terjun ini yang mahir membuat senjata-senjata yang digunakan untuk berperang. Senjata-senjata yang dihasilkannya adalah seperti keris, pedang, parang dan lain-lain lagi. Namun, pisau merupakan kepakarannya dan dari sinilah lahirnya nama air terjun ini.

Berastagi merupakan sebuah pekan yang terletak di utara Kepulauan Sumatera. 'Berastagi' yang bermaksud 'setor beras' adalah salah satu penempatan kaum Batak Karo. Aktiviti ekonomi utama di Berastagi adalah penanaman buah-buahan dan sayur-sayuran serta perlancongan. Berastagi boleh diibaratkan seperti Cameron Highland di Malaysia yang dibezakan dengan 2 buah gunung berapi iaitu Gunung Sibayak dan Gunung Sinabung. Gunung-gunung berapi ini difahamkan masih aktif sehingga kini. Sebelum tiba di Berastagi juga terdapat jualan buah-buahan di tepi jalan yang merupakan hasil daripada tanaman di Berastagi ini. Setelah tiba di Berastagi, kami menjalankan aktiviti sendiri sambil berehat sebelum meneruskan perjalanan pada keesokan harinya. 

TRAVEL (2) : Mahasiswa Pendidik Ke Medan, Indonesia

            Pada 9 Jun 2014, kumpulan pertama yang telah tiba di Medan bergerak semula ke Lapangan Terbang Kualanamu untuk mengambil ahli kumpulan kedua yang baru tiba dan kami bergerak bersama-sama ke Perapat yang mengambil masa lebih kurang 5 jam perjalanan. Kami menaiki bas syarikat pelancongan yang telah disediakan dan kami berkenalan dengan pemandu pelancong yang sangat ramah dan penuh dengan kecindan iaitu Pak Brahim. Di sepanjang perjalanan kami ke Danau Toba diselitkan dengan cerita sejarah Medan juga cerita-cerita lucu yang menghidupkan lagi suasana perjalanan kami.
            Jika dilihat di sekitar bandar Medan, ianya merupakan bandar yang sangat sesak dan dipenuhi dengan kenderaan. Oleh sebab yang demikian, pemandu di bandar ini sentiasa menggunakan ‘hon’ tanpa henti kerana ianya sudah menjadi kebiasaan bagi masyarakat di sini. Menurut Pak Brahim, penggunaan ‘hon’ ini sebenarnya banyak membantu dari segi kemalangan jalanraya kerana pengguna lebih berhati-hati dan peka setiap masa dengan keadaan sekeliling. Lampu isyarat yang wujud juga tidak begitu digunakan. Keadaan dan suasana yang berbeza di Malaysia sedikit sebanyak membuatkan kami berdebar-debar sepanjang perjalanan ke Perapat.
            Kami singgah untuk makan tengahari terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan. Kemudian kami turut singgah di kilang Paten di mana di sini mereka menjual ‘jajan’ bagi masyarakat Indonesia yang berupa kacang-kacang sebagai pemanis mulut dan snek ringan. Setelah itu, kami meneruskan perjalanan yang masih jauh ke dalam dan semuanya tertidur dek keletihan. Kami terjaga kerana melihat kawasan tasik Danau Toba yang sangat luas dan cantik dari perjalanan di atas bukit yang sangat tinggi. Setelah tiba hotel, kami berehat sebelum kembali bersiar-siar di sekitar Danau Toba.
           


Di sebelah petang, kami menyewa bot untuk menikmati keindahan tasik ini sambil melihat sumpahan dongeng yang melibatkan tuan puteri yang dikatakan menjadi batu bersama anjingnya ketika tersangkut untuk terjun ke laut semasa melarikan diri. Kami dapat melihat bentuk tersebut apabila dibawa dengan dekat dengan gua tersebut. Di sebelah malam, kami dibawa makan di kawasan muslim kerana di sini kebanyakannya merupakan kaum Batak ataupun Kristian dan makanan mereka adalah anjing dan khinzir. Oleh sebab yang demikian, di kawasan ini tidak boleh membeli makanan secara sembarangan biarpun masih terdapat orang Islam. Setelah itu, kami dibenarkan untuk membeli buah tangan di deretan kedai sekitarnya dan kita perlu bijak untuk menawar dengan peniaga. Terdapat banyak baju, keychain, beg batik dan sebagainya yang boleh dibeli sebagai cenderahati untuk dibawa pulang ke Malaysia. Setelah itu, kami pulang ke hotel untuk berehat dan bersedia untuk perjalanan esok harinya.


TRAVEL (1) : Mahasiswa Pendidik Ke Medan, Indonesia



Pada cuti pertengahan penggal yang lalu, satu program lawatan peringkat antarabangsa telah diadakan ke Medan, Indonesia yang disertai oleh hampir keseluruhan ahli kelas Pendidikan Islam 2. Lawatan ini menggunakan perkhidmatan pakej pelancongan syarikat Go Travel bagi melancarkan dan memudahkan lagi urusan pelancongan di Medan. Medan merupakan bandar yang keempat terbesar di Indonesia lepas Jakarta, Surabaya dan Bandung dan ianya juga ialah bandar terbesar di kepualauan Sumatera yang menampung kira-kira 2 juta orang penduduk. 

Lawatan ini terbahagi kepada 2 kumpulan yang bertolak pada hari yang berbeza iaitu pada 8 Jun 2014 dan 9 Jun 2014. Penerbangan kumpulan pertama yang mula berlepas ke Medan, Indonesia daripada Lapangan Terbang Pulau Pinang pada jam 7.25 cuma mengambil masa lebih kurang 45 minit dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Kualanamu yang terletak tidak jauh daripada Pekan Medan. Setelah selesai urusan imegresen di negara jiran ini, kami menaiki bas yang membawa kami ke Pekan Medan dan setelah tiba di salah sebuah pusat membeli belah, kami mengambil teksi untuk terus ke hotel.
Setelah tiba bagi urusan pendaftaran di hotel, kami dibawa makan di sebuah restoran yang menghidangkan makanan mengikut cara masyarakat (Padang/Minang) oleh salah seorang kenalan yang kami temui ketika di lapangan terbang. Pelayan di dalam restoran tersebut akan meletakkan seberapa banyak lauk pauk yang ada di atas meja dan bayaran akan dikenakan sekiranya kita mengambil lauk tersebut sama ada dihabiskan atau tidak. Bagi kami yang mengalaminya untuk pertama kali agak bingung dan teruja melihat cara makanan dihidang disini. Oleh kerana meja yang dipenuhi dengan lauk pauk, kami memilih lauk tertentu sahaja dan meminta mereka mengambil semula lauk yang tidak mahu dimakan. ‘Teh botol’ dikatakan begitu popular dalam kalangan masyarakat di sini. Namun begitu, rasanya tidak seperti ‘teh manis dingin’ yang lebih kurang sama rasanya dengan ‘teh o ais’ jika di Malaysia.


Di waktu petang, kami berjalan kaki untuk merasakan suasana di Medan dengan lebih santai. Kami bergerak ke Medan Mall yang berdekatan dengan hotel untuk mencari restoran bagi mengisi perut. Namun, di tengah pekan Medan ini tidak mempunyai banyak pilihan yang sesuai. Oleh yang demikian, kami menggunakan perkhidmatan ‘angkut’ yang berupa  van untuk ke Carrefour. Di sana, kami berkeputusan untuk menjamu selera di medan selera dan ada sebahagian daripada kami membeli sim kad Indonesia di sini bagi memudahkan hubungan komunikasi dengan keluarga di Malaysia.

Hari sudah semakin kelam, kami meneruskan perjalanan ke sebuah masjid di pekan Medan iaitu Masjid ***. Seni binanya yang sangat indah mampu memukau mata yang memandang biar dari luaran sahaja. Kebersihan di masjid ini juga dijaga dengan baik sekali. Kami singgah sebentar di sini bagi mengerjakan solat jamak Maghrib dan Isyak sebelum bergerak ke destinasi yang seterusnya. Kemudian, kami menaiki angkut untuk membawa kami ke Merdeka Walk. Merdeka Walk ini merupakan tempat yang harus dilawati sekiranya sampai di Sumatera Utara kerana suasananya yang dipenuhi dengan restoran bagi makanan Barat, Asia mahupun makanan Medan. Merdeka Walk juga dikenali sebagai pusat makanan, hiburan dan arena pertunjukan sekiranya mempunyai peluang. Kami singgah di sini untuk beristirehat sambil mengambil angin malam sebelum pulang ke hotel. Begitulah coretan perjalanan bagi hari pertama kami ke Medan.