Sabtu, 16 Mei 2015

TRAVEL (3) : Mahasiswa Pendidik Ke Medan, Indonesia

                Kami menikmati pagi hari yang indah di Danau Toba dengan pemandangan dari bilik yang cukup menenangkan. Kami berkemas dan mengeluarkan barang sebelum bersarapan di restoran hotel tersebut. Dunia terasa begitu kecil apabila kami bertemu dengan salah seorang pelajar IPDA yang juga sedang bercuti bersama keluarganya di Medan. Setelah itu, kami menaiki bot dan bergerak ke Pulau Samosir di seberangnya dan kami singgah di Kampung Tomok dan Kampung Ambarita. Di Pulau Samosir ini, masyarakat majoritinya adalah daripada kaum Batak dan kami tidak dibenarkan untuk membeli apa-apa makanan yang dijual.
Perjalanan ke Pulau Samosir mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit. Bukan sahaja kerana tempat yang dituju agak jauh tetapi juga mengambil kira bot yang membawa penumpang tersebut agak perlahan dari segi kelajuannya. Lokasi pertama lawatan kami di Pulau Samosir adalah Kampung Ambarita untuk melihat secara lebih dekat perkampungan Batak dan cara hidup serta tempat perbicaraan/mesyuarat kaum Batak. Setibanya kami di Kampung Ambarita, kami terus ke pusat perkampungan Batak. Terdapat pelbagai monumen untuk dilihat seperti tempat bagi raja-raja Batak terdahulu mengadakan perbincangan atau musyawarah dan beberapa rumah asal kaum Batak yang dijadikan sebagai monumen perlancongan. Setelah selesai kami dibawa ke tempat pemancungan kepala bagi kaum Batak yang dijatuhkan hukuman. Selesai penerangan yang dibuat oleh Pak Brahim kami turun untuk kembali ke bot. Dalam perjalanan ke bot, terdapat banyak kedai-kedai yang menjual cenderahati dan alat-alat kraftangan dari kaum Batak.
Setelah selesai melawat sekitar kampung Ambarita, kami meneruskan perjalanan ke satu lagi Perkampungan Batak di Pulau Samosir iaitu Kampung Tomok. Keadaan di Kampung Tomok adalah lebih terurus berbanding di Kampung Ambarita. Terdapat jeti yang lebih baik dan kedai-kedai di Kampung Tomok lebih tersusun. Di Kampung Tomok kami dibawa untuk melawat ke makam raja-raja Batak yang telah berusia ratusan tahun lamanya. Disitu terdapat beberapa makam raja Batak termasuk raja Batak yang pertama iaitu Raja Sidabuntar Tomok dan keturunannya yang lain. Selepas ke Kampung Tomok, kami memulakan perjalanan ke Berastagi yang mengambil masa selama 2 jam dari Parapat.
Sebelum tiba di Berastagi, kami singgah dahulu di Simarjarunjung yang mengambil masa lebih kurang 1 jam daripada Parapat. Minuman herba yang terkenal di sini adalah bandreng iaitu sejenis teh halia dengan campuran herba yang sesuai bagi memanaskan badan di kawasan yang sejuk seperti di Simarjarunjung ini. Pemandangan daripada atas bukit ini sangat indah dan sentiasa menjadi tempat istirehat sementara sebelum meneruskan baki perjalanan ke Berastagi. Kemudian kami berhenti sebentar menikmati keindahan di Sipiso-Piso Waterfall yang merupakan air terjun yang terkenal di Kepulauan Sumatera. Menurut lagendanya, Air Terjun Sipiso-Piso mendapat namanya daripada seorang tua yang duduk di bawah air terjun ini yang mahir membuat senjata-senjata yang digunakan untuk berperang. Senjata-senjata yang dihasilkannya adalah seperti keris, pedang, parang dan lain-lain lagi. Namun, pisau merupakan kepakarannya dan dari sinilah lahirnya nama air terjun ini.

Berastagi merupakan sebuah pekan yang terletak di utara Kepulauan Sumatera. 'Berastagi' yang bermaksud 'setor beras' adalah salah satu penempatan kaum Batak Karo. Aktiviti ekonomi utama di Berastagi adalah penanaman buah-buahan dan sayur-sayuran serta perlancongan. Berastagi boleh diibaratkan seperti Cameron Highland di Malaysia yang dibezakan dengan 2 buah gunung berapi iaitu Gunung Sibayak dan Gunung Sinabung. Gunung-gunung berapi ini difahamkan masih aktif sehingga kini. Sebelum tiba di Berastagi juga terdapat jualan buah-buahan di tepi jalan yang merupakan hasil daripada tanaman di Berastagi ini. Setelah tiba di Berastagi, kami menjalankan aktiviti sendiri sambil berehat sebelum meneruskan perjalanan pada keesokan harinya. 

0 ulasan:

Catat Ulasan