Khamis, 30 Julai 2015
Isnin, 1 Jun 2015
Sabtu, 16 Mei 2015
TRAVEL (4) : Mahasiswa Pendidik Ke Medan, Indonesia
1:20 PG
No comments
Hari
ini merupakan hari terakhir kami di Medan dan kami merancang untuk melawat
beberapa buah sekolah di kawasan sekitar bagi melihat sistem pendidikan di
sini. Sekolah di sini masih kelihatan tidak mempunyai peruntukan yang mencukupi
dan serba kekurangan jika dibandingkan di Malaysia. Namun, murid di sini masih
lagi menuntut ilmu walaupun dalam keadaan yang tidak begitu kondusif. Kami juga
dibawa ke Istana Maimoon yang dibina oleh Sultan Deli di Bandar Medan.
Kesultanan Deli berasal daripada rumpun Melayu yang sama dengan kita dan oleh
kerana itulah struktur binaannya juga menggunakan warna kuning sebagai warna
diraja. Apa yang menarik di sini adalah pelawat boleh mencuba pakaian
tradisional dengan hanya 10,000 rupiah sahaja untuk mengambil gambar di sekitar
istana. Kami juga berpeluang untuk menunaikan solat di salah satu masiid yang
sangat terkenal di sini iaitu *********
Kami diberi ruang membeli cenderahati untuk
dibawa pulang ke Malaysia. Kami dibawa ke sebuah pusat borong yang menjual
telekung dan kain pasang untuk dibuat baju kurung dan sebagainya. Oleh kerana
ramai yang datang, harga yang diberikan juga murah berbanding harga telekung di
Malaysia dan kualitinya juga baik. Kami juga berhenti di Medan Mall untuk
membeli barang keperluan sebelum masing-masing bersiap untuk ke lapangan
terbang Kualanamu.
TRAVEL (3) : Mahasiswa Pendidik Ke Medan, Indonesia
1:20 PG
No comments
Kami
menikmati pagi hari yang indah di Danau Toba dengan pemandangan dari bilik yang
cukup menenangkan. Kami berkemas dan mengeluarkan barang sebelum bersarapan di
restoran hotel tersebut. Dunia terasa begitu kecil apabila kami bertemu dengan
salah seorang pelajar IPDA yang juga sedang bercuti bersama keluarganya di
Medan. Setelah itu, kami menaiki bot dan bergerak ke Pulau Samosir di
seberangnya dan kami singgah di Kampung Tomok dan Kampung Ambarita. Di Pulau
Samosir ini, masyarakat majoritinya adalah daripada kaum Batak dan kami tidak
dibenarkan untuk membeli apa-apa makanan yang dijual.
Perjalanan ke Pulau Samosir
mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit. Bukan sahaja kerana tempat yang
dituju agak jauh tetapi juga mengambil kira bot yang membawa penumpang tersebut
agak perlahan dari segi kelajuannya. Lokasi pertama lawatan kami di Pulau
Samosir adalah Kampung Ambarita untuk melihat secara lebih dekat perkampungan
Batak dan cara hidup serta tempat perbicaraan/mesyuarat kaum Batak. Setibanya
kami di Kampung Ambarita, kami terus ke pusat perkampungan Batak. Terdapat
pelbagai monumen untuk dilihat seperti tempat bagi raja-raja Batak terdahulu
mengadakan perbincangan atau musyawarah dan beberapa rumah asal kaum Batak yang
dijadikan sebagai monumen perlancongan. Setelah selesai kami dibawa ke tempat
pemancungan kepala bagi kaum Batak yang dijatuhkan hukuman. Selesai penerangan
yang dibuat oleh Pak Brahim kami turun untuk kembali ke bot. Dalam perjalanan
ke bot, terdapat banyak kedai-kedai yang menjual cenderahati dan alat-alat
kraftangan dari kaum Batak.
Setelah selesai melawat
sekitar kampung Ambarita, kami meneruskan perjalanan ke satu lagi Perkampungan
Batak di Pulau Samosir iaitu Kampung Tomok. Keadaan di Kampung Tomok adalah
lebih terurus berbanding di Kampung Ambarita. Terdapat jeti yang lebih baik dan
kedai-kedai di Kampung Tomok lebih tersusun. Di Kampung Tomok kami dibawa untuk
melawat ke makam raja-raja Batak yang telah berusia ratusan tahun lamanya.
Disitu terdapat beberapa makam raja Batak termasuk raja Batak yang pertama
iaitu Raja Sidabuntar Tomok dan keturunannya yang lain. Selepas ke Kampung
Tomok, kami memulakan perjalanan ke Berastagi yang mengambil masa selama 2 jam
dari Parapat.
Sebelum tiba di Berastagi,
kami singgah dahulu di Simarjarunjung yang mengambil masa lebih kurang 1 jam
daripada Parapat. Minuman herba yang terkenal di sini adalah bandreng iaitu
sejenis teh halia dengan campuran herba yang sesuai bagi memanaskan badan di
kawasan yang sejuk seperti di Simarjarunjung ini. Pemandangan daripada atas
bukit ini sangat indah dan sentiasa menjadi tempat istirehat sementara sebelum
meneruskan baki perjalanan ke Berastagi. Kemudian kami berhenti sebentar
menikmati keindahan di Sipiso-Piso Waterfall yang merupakan air terjun yang terkenal
di Kepulauan Sumatera. Menurut lagendanya, Air Terjun Sipiso-Piso mendapat
namanya daripada seorang tua yang duduk di bawah air terjun ini yang mahir
membuat senjata-senjata yang digunakan untuk berperang. Senjata-senjata yang
dihasilkannya adalah seperti keris, pedang, parang dan lain-lain lagi. Namun,
pisau merupakan kepakarannya dan dari sinilah lahirnya nama air terjun ini.
Berastagi
merupakan sebuah pekan yang terletak di utara Kepulauan Sumatera. 'Berastagi'
yang bermaksud 'setor beras' adalah salah satu penempatan kaum Batak Karo.
Aktiviti ekonomi utama di Berastagi adalah penanaman buah-buahan dan
sayur-sayuran serta perlancongan. Berastagi boleh diibaratkan seperti Cameron
Highland di Malaysia yang dibezakan dengan 2 buah gunung berapi iaitu Gunung
Sibayak dan Gunung Sinabung. Gunung-gunung berapi ini difahamkan masih aktif
sehingga kini. Sebelum
tiba di Berastagi juga terdapat jualan buah-buahan di tepi jalan yang merupakan
hasil daripada tanaman di Berastagi ini. Setelah tiba di Berastagi, kami
menjalankan aktiviti sendiri sambil berehat sebelum meneruskan perjalanan pada
keesokan harinya.
TRAVEL (2) : Mahasiswa Pendidik Ke Medan, Indonesia
1:09 PG
No comments
Pada 9 Jun 2014, kumpulan pertama yang telah tiba di
Medan bergerak semula ke Lapangan Terbang Kualanamu untuk mengambil ahli
kumpulan kedua yang baru tiba dan kami bergerak bersama-sama ke Perapat yang
mengambil masa lebih kurang 5 jam perjalanan. Kami menaiki bas syarikat
pelancongan yang telah disediakan dan kami berkenalan dengan pemandu pelancong
yang sangat ramah dan penuh dengan kecindan iaitu Pak Brahim. Di sepanjang
perjalanan kami ke Danau Toba diselitkan dengan cerita sejarah Medan juga cerita-cerita
lucu yang menghidupkan lagi suasana perjalanan kami.
Jika dilihat di sekitar bandar Medan, ianya merupakan
bandar yang sangat sesak dan dipenuhi dengan kenderaan. Oleh sebab yang
demikian, pemandu di bandar ini sentiasa menggunakan ‘hon’ tanpa henti kerana
ianya sudah menjadi kebiasaan bagi masyarakat di sini. Menurut Pak Brahim,
penggunaan ‘hon’ ini sebenarnya banyak membantu dari segi kemalangan jalanraya
kerana pengguna lebih berhati-hati dan peka setiap masa dengan keadaan
sekeliling. Lampu isyarat yang wujud juga tidak begitu digunakan. Keadaan dan
suasana yang berbeza di Malaysia sedikit sebanyak membuatkan kami
berdebar-debar sepanjang perjalanan ke Perapat.
Kami singgah untuk makan tengahari terlebih dahulu
sebelum meneruskan perjalanan. Kemudian kami turut singgah di kilang Paten di
mana di sini mereka menjual ‘jajan’ bagi masyarakat Indonesia yang berupa
kacang-kacang sebagai pemanis mulut dan snek ringan. Setelah itu, kami
meneruskan perjalanan yang masih jauh ke dalam dan semuanya tertidur dek
keletihan. Kami terjaga kerana melihat kawasan tasik Danau Toba yang sangat
luas dan cantik dari perjalanan di atas bukit yang sangat tinggi. Setelah tiba
hotel, kami berehat sebelum kembali bersiar-siar di sekitar Danau Toba.
Di sebelah petang, kami
menyewa bot untuk menikmati keindahan tasik ini sambil melihat sumpahan dongeng
yang melibatkan tuan puteri yang dikatakan menjadi batu bersama anjingnya
ketika tersangkut untuk terjun ke laut semasa melarikan diri. Kami dapat
melihat bentuk tersebut apabila dibawa dengan dekat dengan gua tersebut. Di
sebelah malam, kami dibawa makan di kawasan muslim kerana di sini kebanyakannya
merupakan kaum Batak ataupun Kristian dan makanan mereka adalah anjing dan
khinzir. Oleh sebab yang demikian, di kawasan ini tidak boleh membeli makanan
secara sembarangan biarpun masih terdapat orang Islam. Setelah itu, kami
dibenarkan untuk membeli buah tangan di deretan kedai sekitarnya dan kita perlu
bijak untuk menawar dengan peniaga. Terdapat banyak baju, keychain, beg batik
dan sebagainya yang boleh dibeli sebagai cenderahati untuk dibawa pulang ke
Malaysia. Setelah itu, kami pulang ke hotel untuk berehat dan bersedia untuk
perjalanan esok harinya.
TRAVEL (1) : Mahasiswa Pendidik Ke Medan, Indonesia
12:00 PG
No comments
Pada cuti pertengahan penggal
yang lalu, satu program lawatan peringkat antarabangsa telah diadakan ke Medan,
Indonesia yang disertai oleh hampir keseluruhan ahli kelas Pendidikan Islam 2.
Lawatan ini menggunakan perkhidmatan pakej pelancongan syarikat Go Travel bagi
melancarkan dan memudahkan lagi urusan pelancongan di Medan. Medan merupakan bandar yang keempat
terbesar di Indonesia lepas Jakarta, Surabaya dan Bandung dan ianya juga ialah
bandar terbesar di kepualauan Sumatera yang menampung kira-kira 2 juta orang
penduduk.
Lawatan ini terbahagi kepada
2 kumpulan yang bertolak pada hari yang berbeza iaitu pada 8 Jun 2014 dan 9 Jun
2014. Penerbangan kumpulan pertama yang mula berlepas ke Medan, Indonesia
daripada Lapangan Terbang Pulau Pinang pada jam 7.25 cuma mengambil masa lebih
kurang 45 minit dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Kualanamu yang
terletak tidak jauh daripada Pekan Medan. Setelah selesai urusan imegresen di
negara jiran ini, kami menaiki bas yang membawa kami ke Pekan Medan dan setelah
tiba di salah sebuah pusat membeli belah, kami mengambil teksi untuk terus ke
hotel.
Setelah tiba bagi urusan
pendaftaran di hotel, kami dibawa makan di sebuah restoran yang menghidangkan
makanan mengikut cara masyarakat (Padang/Minang) oleh salah seorang kenalan
yang kami temui ketika di lapangan terbang. Pelayan di dalam restoran tersebut
akan meletakkan seberapa banyak lauk pauk yang ada di atas meja dan bayaran
akan dikenakan sekiranya kita mengambil lauk tersebut sama ada dihabiskan atau
tidak. Bagi kami yang mengalaminya untuk pertama kali agak bingung dan teruja
melihat cara makanan dihidang disini. Oleh kerana meja yang dipenuhi dengan
lauk pauk, kami memilih lauk tertentu sahaja dan meminta mereka mengambil
semula lauk yang tidak mahu dimakan. ‘Teh botol’ dikatakan begitu popular dalam
kalangan masyarakat di sini. Namun begitu, rasanya tidak seperti ‘teh manis
dingin’ yang lebih kurang sama rasanya dengan ‘teh o ais’ jika di Malaysia.
Di waktu petang, kami
berjalan kaki untuk merasakan suasana di Medan dengan lebih santai. Kami
bergerak ke Medan Mall yang berdekatan dengan hotel untuk mencari restoran bagi
mengisi perut. Namun, di tengah pekan Medan ini tidak mempunyai banyak pilihan
yang sesuai. Oleh yang demikian, kami menggunakan perkhidmatan ‘angkut’ yang
berupa van untuk ke Carrefour. Di sana,
kami berkeputusan untuk menjamu selera di medan selera dan ada sebahagian
daripada kami membeli sim kad Indonesia di sini bagi memudahkan hubungan
komunikasi dengan keluarga di Malaysia.
Hari sudah semakin kelam,
kami meneruskan perjalanan ke sebuah masjid di pekan Medan iaitu Masjid ***.
Seni binanya yang sangat indah mampu memukau mata yang memandang biar dari
luaran sahaja. Kebersihan di masjid ini juga dijaga dengan baik sekali. Kami
singgah sebentar di sini bagi mengerjakan solat jamak Maghrib dan Isyak sebelum
bergerak ke destinasi yang seterusnya. Kemudian, kami menaiki angkut untuk
membawa kami ke Merdeka Walk. Merdeka Walk ini merupakan tempat yang harus
dilawati sekiranya sampai di Sumatera Utara kerana suasananya yang dipenuhi
dengan restoran bagi makanan Barat, Asia mahupun makanan Medan. Merdeka Walk
juga dikenali sebagai pusat makanan, hiburan dan arena pertunjukan sekiranya
mempunyai peluang. Kami singgah di sini untuk beristirehat sambil mengambil
angin malam sebelum pulang ke hotel. Begitulah coretan perjalanan bagi hari
pertama kami ke Medan.
Jumaat, 6 Mac 2015
Langgan:
Catatan (Atom)













